Terkini dari Informasi Santai!

Edisi Sukan Hangat! Lee Chong Wei Fobia - Fobia Apa, Ikuti Kupasannya Di Sini!

Ditulis dengan santai oleh Muhammad Aakif on Sunday, 8 April 2012


KECEDERAAN di bahagian bahu kanan yang dialami jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei jelas memberi kesan besar kepada pemain No. 1 dunia itu. Malah, dia mengakui perlu lebih berhati-hati apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas ini kerana bimbang kecederaan yang sama akan kembali menghantuinya.

“Sekarang, saya sudah tidak berasa sakit-sakit lagi dan telah kembali menjalani latihan seperti biasa. “Namun, kecederaan ini mendatangkan fobia kepada saya. Saya bimbang jika kecederaan ini akan kembali berulang dan sebab itu saya perlu lebih berhati-hati selepas ini,” kata Chong Wei.

Dia berkata demikian pada sidang akhbar sejurus Majlis Pelancaran Produk Terbaharu jenama ‘Cafe 99 Ipoh White Coffee Tanpa Gula’ di Sunway Pyramid, Petaling Jaya semalam. Sebagai rekod, dia telah dilantik sebagai duta jenama produk tersebut pada Disember tahun lalu. Menurut Chong Wei, 30, meskipun telah mula menjalani latihan seperti biasa tetapi pergerakannya masih terhad.

“Saya masih belum boleh untuk melakukan hayunan sepenuhnya dan ia akan mengambil sedikit masa untuk saya benar-benar berada pada tahap prestasi sebenar,” jelas Chong Wei.

Sebelum ini, kudrat Chong Wei terpaksa dilupakan skuad negara apabila dia diketepikan daripada beraksi pada Kejohanan Badminton Piala Axiata 2012 selepas mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan ketika aksi final Seluruh England bulan lalu. Tanpa kelibat pemain kelahiran Pulau Pinang itu, skuad negara yang dikenali sebagai Malaysia Tiger gagal mara ke pentas final apabila tersingkir pada peringkat separuh akhir dua minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Chong Wei masih belum memberi kata putus sama ada beraksi atau tidak pada Terbuka India yang akan bermula pada 24 hingga 29 April ini. Jelasnya, jika sudah kembali pulih sepenuhnya, besar kemungkinan dia akan menyertai kejohanan tersebut.

“Saya perlu lihat dahulu tahap kecederaan saya. Jika sudah pulih sepenuhnya, tidak ada masalah untuk saya beraksi di India nanti. “Lagipun, nama saya sudah dihantar untuk Terbuka India,” jelas Chong Wei.

{ 1 comments... read them below or add one }

Admin said...

chong wei harapan negara

Post a Comment