Bagai yang telah dijangka, hero filem ‘Ombak Rindu’, Aaron Aziz dijulang sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) apabila menerima 87,699 undian menewaskan pemenang tahun lalu, Shaheizy Sam. Aaron mengenepikan saingan kelompok empat artis lain yang menerima undi tertinggi iaitu Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Fasha Sandha dan Tasha Shila.
Bintang dari Singapura ini membawa pulang sebuah
kereta Nissan Teana 2.5 sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd dan set
barangan kemas Rafflesia bernilai RM250,000. Kemenangan Aaron ini pasti
membuktikan peminat sekarang tidak lagi mementingkan status peribadi atau pun
warganegara seseorang artis. Sebaliknya melihat kepada keupayaan atau kebolehan
seseorang artis itu. Tahniah, GUA ucapkan kepada Aaron Aziz.
Selain Aaron Aziz, GUA juga ingin mengucapkan
syabas kepada Maya Karin di atas kemenangannya sebagai Pelakon Filem Wanita
Popular. Walaupun penampilannya dalam Ombak Rindu turut dikritik kerana
perwatakkannya tidak mencerminkan seorang gadis Melayu, tetapi lakonan naif
Maya berjaya memberikan impak yang besar. Populariti yang diraih filem ini
bakal melonjakkan nama Maya Karin semula.
Bagaimana pula dengan pemenang-pemenang lain?
Adakah di kalangan anda yang tidak berpuas hati dengan keputusan malam tadi?
Secara jujurnya GUA tidak ada sebarang pertikaian terhadap keputusan ABPBH 2011
malam ini, walaupun ada yang di luar jangkaan.
Namun, GUA mengukir senyuman lebar apabila Zizan
Razak akhirnya berjaya merampas ‘takhta’ Aznil Nawawi sebagai Pengacara TV
Lelaki Popular. Bukan kerana beranggapan Aznil sudah tidak layak, tetapi
teringin melihat pelapis muda menjulang trofi.
Kemenangan Zizan ini secara tidak langsung, membuktikan industri hiburan
kita tidak ketandusan bakat. Zizan memang layak menang kerana bukan kecil
populariti yang diraihnya. Kalau tidak masakan program Melodi melamar Zizan
sebagai hos.
Penangan Ombak Rindu diteruskan oleh Hafiz yang
memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular, manakala penyanyi yang mencipta
nama di Amerika Syarikat, Yuna berjaya membawa pulang trofi Penyanyi Wanita
Popular.
Kemenangan Dato' Siti Nurhaliza untuk kategori khas
Anugerah Sri Perak bukanlah satu yang mengejutkan. Pemenang trofi Penyanyi
Wanita Popular berganda itu amat wajar diberikan pengiktirafan yang tertinggi
untuk meraih anugerah khas tersebut.
Bagaimanapun, GUA agak terkejut dengan kemenangan
Tasha Shila sebagai Pelakon TV Wanita Popular. Maklumlah sebelum acara kemuncak
ini berlangsung, ramai yang meramalkan pelakon jelita, Neelofa akan naik ke
pentas menerima anugerah itu. Ternyata ramalan itu meleset sama sekali.
Jika difikir-fikirkan, sebenarnya bukanlah satu
yang mustahil untuk Tasha Shila meraih kemenangan tersebut. Ini kerana dia banyak membintangi drama-drama bersiri
yang meraih rating membangggakan. Jadi,
pasti dia punya peminat yang ramai dan sanggup mengundi untuknya. Kepada peminat Neelofa, jangan kecewa, mana
tahu, tahun depan rezeki Lofa dalam kategori pengacaraan pula.
Kemenangan pelakon Fizz Fairuz dalam kategori
Pelakon TV Lelaki Popular juga mengejutkan apabila pelakon drama Nur Kasih itu
menewaskan pelakon drama Nora Elena, Aaron Aziz. Kemenangan yang boleh dianggap
terlewat pada waktunya itu menjadi lebih manis apabila reaksi Fizz Fairuz yang
dilihat cukup terkejut dengan kemenangannya. Reaksi Fizz sewaktu menyampaikan
ucapannya cukup klasik dan terserlah kejujurannya.
Menyentuh tentang persembahan keseluruhan APBBH
2011, GUA berpendapat ia sebuah persembahan yang cukup menghiburkan dan mantap,
sesuai dengan sambutan 25 tahun penganjurannya. Akan tetapi, ada beberapa
perkara yang kurang berkenan di hati GUA.
Pertama, tindakan penganjur menyampaikan Anugerah
Pencapaian Sepanjang Hayat di awal-awal acara agak kurang kesesuaiannya
memandangkan ia sebuah anugerah yang cukup besar pengaruhnya pada industri.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, montaj kejayaan dan perjalanan kerjaya pemenang
akan ditayangkan terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat, tetapi tidak pada
tahun ini. Sudahlah begitu, ketika penerimanya, Datuk Sheila Majid menyampaikan
ucapan, kedengaran muzik sebelum Diva Jazz itu habis berbicara. Perkara sebegitu tidak seharusnya terjadi.
Selain itu, GUA juga tidak setuju dengan
lagu-lagu untuk persembahan pembukaan
iaitu Thriller dan Bad Romance yang dipersembahkan oleh Stacy dan Alyah. Rasanya adalah lebih baik kalau
Stacy dan Alyah menyampaikan lagu Melayu bagi mewakili industri hiburan
tempatan yang memiliki lagu-lagu Melayu yang bagus-bagus. Mungkin pihak penganjur mahu mencipta
kesinambungan kerana Datuk Siti Nurhaliza ingin menyampaikan lagu Inggeris
miliknya, Falling In Love.
GUA suka dengan persembahan Ziana Zain bersama Lan
Typewriter yang menyampaikan lagu popular Meet Uncle Hussain, ‘Lagu Untukmu’.
Paduan suara kedua-dua penyanyi ini sangat hebat dan memukau walaupun lagu yang
sama pernah didendangkan oleh Lan & Dato’ Siti Nurhaliza di AJL dua tahun
lalu.
Begitu juga dengan persembahan Dayang Nurfaizah dan
Anuar Zain yang menyanyikan lagu ‘Tunggu Sekejap’ dan ‘Malam Bulan Di Pagar
Bintang’. Selain susunan muziknya yang indah, paduan suara kedua-dua bintang
ini cukup mengasyikkan.
Satu lagi persembahan yang ingin GUA sebutkan di
sini pastilah pementasan Ombak Rindu daripada Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa
Surihani. Persembahan ini mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada peminat
yang berada di dalam dewan. Pasti ramai
yang melonjak kegembiraan kerana dapat menyaksikan pelakon kesayangan beraksi
secara langsung.
Tahniah kepada tenaga kerja Berita Harian yang
terfikir untuk mengeksploitasi idea tersebut yang secara tidak langsung
mencetuskan idea kepada penerbit teater di luar sana untuk mengadaptasi filem
tersebut ke pentas Istana Budaya pula. GUA tidak anggap ia sesuatu yang
mustahil untuk direalisasikan.
Akhir sekali, GUA melihat penganjuran ABPBH semakin
mantap sesuai dengan usianya yang mencecah 25 tahun. Walaupun ada kekurangan di
sana –sini, namun GUA percaya ia boleh diperbaiki pada masa akan datang. Kepada semua pemenang tahun ini, GUA ucapkan
sekalung tahniah. Kepada yang tidak berjaya, jangan berasa kecewa, mungkin
tahun hadapan kejayaan milik anda.
Kredit: Gua.Com.My
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment